Selepas mengambil maklum balas dari orang ramai, AVETA Malaysia dengan rasminya memperkenalkan Nova 160 versi SE (Signature Edition) untuk pasaran tempatan dengan harga promosi RM8,088 (sah sehingga 31 Disember 2025).
Naik taraf terbesar yang ditawarkan pada versi SE ini berbanding standard adalah kehadiran sistem ABS dwi-saluran dan sistem traction control (TCS). Menariknya, fungsi traction control boleh dipadamkan sepenuhnya menggunakan butang tersedia di handlebar.
Untuk rekod, semua motosikal 150cc ke atas diwajibkan hadir dengan sistem ABS secara standard bermula 1 Januari 2025. Bagaimanapun, Nova 160 yang diperkenalkan pada Februari lalu tidak dilengkapi dengan sistem tersebut ekoran pendaftaran VTA dibuat pada November 2024 (sebelum peraturan dikuatkuasa).
Dalam pada itu, AVETA Nova 160 SE ini masih lagi dikuasakan enjin satu silinder 154.4cc yang berupaya menjana 15.8hp pada 8,500rpm dan 14.7Nm pada 6,500rpm. Kuasa pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi CVT.